kisah seorang anak kecil...
Assalamualaikum,,,nie aq na kongsi 1 cerita,,hope korng dpt bce n amik iktibr,,aminn...
“Kakak!!!!!!!”. Saya menjerit kuat.
Sudah terlambat. Saya hanya mampu memandang, cermin mata saya yang
bingkainya sudah patah. Segera suami mengambilnya dari tangan Aqila.
Saya menahan marah, membisikkan pada diri supaya sabar. Sedang mengawal
minda agar menekan butang ‘pause’ dari melakukan sebarang tindakan
tidak wajar pada anak kecil itu.
Si kecil yang masih belum faham bahawa ibunya sedang marah, meluru pada saya. Senyum dan memeluk erat kaki si ibu ini.
Di saat kondisi kewangan yang agak menghimpit ini, untuk membuat cermin
mata baru, ia satu masalah besar bagi saya. Silau mata yang agak tinggi
tidak memungkinkan saya memandu dalam keadaan tidak bercermin mata.
Saya diam. Suami juga diam.
Membiarkan sahaja insiden itu berlalu.
Esoknya, satu beg kertas ada di atas meja, berisi cermin mata baru.
Diam-diam suami ke bandar, buatkan cermin mata baru untuk saya. Ditanya
harganya berapa, dia hanya menggeleng kepala. Perasaan saya bercampur
baur. Terharu dengan tindakannya, dan serba-salah juga ada. Memikirkan
duit yang dikeluarkannya untuk cermin mata saya, di saat-saat begini..
Marah pada si kakak berjaya dikawal. Tidak seperti di awal-awal
kelahiran si adik dulu. Si kakak kerap menjadi ‘mangsa’ saya melampias
marah.
Marah kerana dia mencubit adik dan adik menangis.
Marah kerana dia ulang alik ke dapur, buka peti sejuk dan ambil telur mentah, acapkali pecah terhempas ke lantai.
Marah kerana dia sepahkan mainannya.
Marah kerana dia meragam tak tentu pasal.
Marah kerana dia menangis di tengah-tengah malam kerana saat terjaga, saya sedang menyusukan adiknya.
Marah dilampiaskan dalam bentuk pukulan dan tengkingan. Dan acapkali dia menangis saat menerima ‘habuan’ itu.
Entah bagaimana kacau bilaunya perasaan si anak yang menjadi kakak di
usia setahun setengah itu. Masih kecil, masih belum mengerti apa-apa.
Entah betapa kecewanya dia, mungkin merasakan ibu sudah tidak sayangkannya sejak si adik menjengah dunia.
Entah betapa sedihnya dia menghadapi situasi yang berlarutan beberapa minggu ketika saya menjalani tempoh berpantang.
Mengenangkan jahilnya saya ketika itu, betapa saya ini tidak pandai mengurus emosi. Si anak menjadi mangsa.
Kerana itulah, airmata si ibu ini mengalir laju saat Ustaz Rujhan
berkongsi kisah ini ketika ceramah beliau di kolej 2 minggu yang lalu.
Kisah yang diceritakan oleh seorang ibu, perihal anaknya yang terlalu
nakal.
Rumah yang sudah cantik dikemas oleh si ibu disepahkannya. Berulang kali, meskipun sudah dimarahi.
Si ibu ini sudah hilang sabar. Suatu hari, ditariknya telinga si anak
bila dia menyepahkan rumah. Diajarnya pada si anak, agar setiap kali ibu
menarik telinganya kerana kenakalannya, si anak perlu berkata: “Ibu,
maafkan abang”.
Suatu hari, saat ibu sibuk memasak di dapur,
si anak seperti biasa membuat sepah di ruang tamu yang telah dihias rapi
oleh ibunya.
Ibu meradang. Si anak ketakutan dan lari ke luar rumah.
“Dummmm!!!”. Kedengaran bunyi sesuatu di luar rumah.
Sudah terlambat, saat si ibu meluru keluar, anaknya sudah terbaring di atas jalanraya. Darah merah memenuhi jalan.
Si ibu memangku si anak yang sudah nazak.
Dengan bibir terketar-ketar..si anak menuturkan kata-kata yang cukup mengusik hati si ibu:
” Ibu…maafkan abang.”. Si anak minta maaf kepada ibu kerana telah
menyepahkan rumah tadi. Dan itulah ungkapan terakhir anak buat si ibu….
Saya mengesat airmata yang berlinangan. Mengenang saat saya memarahi anak.
Menyalahkan diri sendiri. Sukarkah memberi maaf pada anak? Kita juga
pernah kecil seperti mereka. Bersabarlah wahai ibu! Maafkan mereka..
Hargailah saat mereka ada di depan mata. Kerana kita tidak tahu, sampai
bila ianya akan begitu. Saat ia hilang, ia tentu satu perasaan yang
sangat sukar untuk ditafsirkan.
Nakal anak tangani dengan hikmah.
Marah hanya membuatkan mereka keras hati. Berdoalah untuk mereka, kerana doa seorang ibu, sangat mustajab buat anaknya.
Anak-anak itu adalah rezeki. Hadirnya mereka bersama ujian, cabaran
buat mematangkan ibu bapa. Sabar itu harus dipupuk sentiasa. Gerun saya
memikirkan, anak-anak andai sentiasa dimaki, diherdik, ditengking ibu
bapa sendiri yang tidak pandai mengurus emosi, bagaimana emosinya di
saat membesar? Akan jadi pendendamkah anak-anak itu nanti?
wsslam,, :D
No comments:
Post a Comment